Wednesday 3 July 2013

Sistem Keadilan Malaysia Yang Tunggang Langgang


Ahli Parlimen Bandar Kuching, Chong Chieng Jen dikunjungi tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, sehari selepas pendedahannya berkaitan senarai tanah keluarga Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Mereka datang untuk mendapatkan dokumen senarai pendedahannya sehingga menyebabkan Chong terkejut.

"Saya hanya individu biasa. Jika saya boleh mendapatkan dokumen itu daripada Pejabat Pendaftar Tanah, apakan lagi SPRM?" soal Chong apabila ditemui oleh The Malaysian Insider.
 
"Jika kata 10 penyiasat mereka buat kerja, tiada alasan untuk mereka tidak memiliki dokumen sebegini," tambah beliau lagi.

Pada Isnin, Ahli Parlimen DAP itu mendedahkan dokumen senarai tanah seluas hampir 100,000 ekar bernilai RM1 bilion yang didakwa milik ahli keluarga Abdul Taib.

Chong kemudian mempersoal keupayaan SPRM dalam menjalankan siasatan ke atas ketua menteri itu yang disifatkannya sebagai tidak serius.

Chong dalam ucapannya di Parlimen pada Isnin mendakwa Abdul Taib dan keluarganya memiliki 24 plot tanah yang diperoleh bawah aras nilai pasaran serta menunjukkan dokumen berkaitan enam tanah berjumlah 89,025 hektar, terletak kira-kira lapan kilometer dari Kuching.

Beliau turut mendedahkan syarikat yang ada kaitan dengan Abdul Taib, Polar Red Sdn Bhd, Magna Wide Sdn Bhd, CMS Lands Sdn Bhd, Monarda Sdn Bhd, Radiant Lagoon Sdn Bhd, Miracle Harvest Sdn Bhd dan Worldsign Harvest Sdn Bhd.

Turut menyatakan gesaan supaya SPRM mengambil tindakan tegas ialah Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Yew yang menyifatkan bukti itu mencukupi untuk mendakwa Taib.

"Dokumen yang didedahkan Chong Isnin lalu adalah bukti jelas salah kuasa Taib dan lebih daripada cukup untuk SPRM mengambil tindakan," katanya.

Ahli Parlimen Stampin, Julian Tan Kok Ping, pula berkata SPRM perlu membuktikan sikap profesionalisme dalam menangani kes melibatkan Taib.

"Walaupun mereka agak lewat sedikit, langkah SPRM bertemu Chong untuk mendapatkan bukti itu petanda baik, tapi mereka perlu serius.

"Sudah lama orang tunggu Taib dibawa ke muka pengadilan. SPRM perlu menunjukkan profesionalisme," katanya.

Baru-baru ini, SPRM dalam kenyataan media berkata kes yang mengaitkan Ketua Menteri Sarawak dan keluarganya yang tersebar luas di YouTube sedang diteliti.

Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa, Global Witness (GW) secara menyamar berunding dengan sepupu Abdul Taib dan beberapa orang untuk mendapatkan ribuan hektar tanah hutan.

NGO berpangkalan di London itu turut menyifatkan pendedahan berkenaan sebagai rasuah sistematik.

SPRM dalam satu kenyataan hari ini pula menegaskan, sebuah pasukan khas melibatkan 10 pegawai giat menjalankan siasatan dan lebih 20 individu yang disebutkan dalam video, diambil keterangan.

Mac lalu, GW mendakwa ahli keluarga Abdul Taib dan rakan perniagaannya melakukan penyalahgunaan lesen pembalakan untuk memperkayakan diri mereka.

SPRM dalam kenyataan sama juga menafikan siasatan pihaknya tidak mendapat kerjasama pihak terlibat.

Abdul Taib yang berkuasa selama 32 tahun berdepan dakwaan penyalahgunaan  kuasa, bagaimanapun menolak tuduhan itu dengan melabel SPRM sebagai "nakal". - 3 Julai, 2013.

Tuesday 2 July 2013

Yang ini Adun UMNO patut malu


ADUN Sri Andalas, Dr Xavier Jayakumar hari ini mencadangkan agar satu kerajaan memperkenalkan satu undang-undang baru bagi melarang perbuatan meminum minuman keras di tempat awam.

Menurutnya, enakmen itu bertujuan bagi memberi kuasa undang-undang kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan polis untuk menguatkuasakan larangan tersebut di tempat berkenaan.

Kawasan awam yang dimaksudkannya itu termasuk tempat-tempat seperti taman permainan, kawasan rekreasi dan padang bola, kata bekas exco itu.

"Pejabat saya telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang kumpulan yang minum minuman keras di lokasi berkenaan sehingga larut malam dan kemudian meninggalkan botol kosong dan juga pecah yang berselerak di tempat tersebut.

“Keadaan ini menyebabkan kacau dan ganggu kepada keharmonian dan ketenteraman penduduk setempat di kawasan berhampiran," katanya.

Katanya, undang-undang seperti itu dikuatkuasa di beberapa negara seperti Australia, Kanada dan Amerika Syarikat yang menghalang perbuatan membawa dan meminum bahan tersebut di kawasan seperti taman dan pantai.

Selain itu, beliau juga menuntut agar kerajaan mengharamkan penjualan arak murah bagi membendung gejala sosial yang menurutnya semakin serius.

"Saya juga mohon kerajaan negeri melarang dan mengharamkan jualan arak murah yang boleh diperolehi dengan mudah dan berleluasa di kedai runcit, kedai perubatan Cina dan pasaraya di seluruh negeri.

"Yang begitu membimbangkan, pengambilan minuman ini dilakukan oleh ramai dari masyarakat India berpendapatan rendah.
"Ini menimbulkan masalah gejala sosial dan menyebabkan banyak berlakunya kes jenayah dan penderaan rumah tangga di kalangan masyarakat India yang tinggal di kawasan bandar dan luar bandar.

"Pihak berkuasa dan agensi-agensi berkaitan juga mesti terus memantau kedai yang menjual arak ini daripada menjualnya," katanya lagi.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan titah Diraja di Dewan Undangan Negeri di Shah Alam hari ini. - Malaysiakini

@ Orang bukan Islam tahu membezakan baik dan buruk. Yang ada agama tak boleh nak bezakan.